“Sah! Roberto Carlos Belum Masuk Islam”

 


Kamis, 20 Agustus 2026

Faktakini.info

“Sah! Roberto Carlos Belum Masuk Islam”

Oleh: Azizul Farhan 

Semalam kecoh apabila legenda Brazil dan Real Madrid, Roberto Carlos dilaporkan sudah memeluk Islam selepas dikatakan mengucapkan syahadah kira-kira empat minggu lalu.

Rupanya berita itu tak betul.

Roberto Carlos sendiri kini tampil menafikan dakwaan tersebut. Beliau memberitahu akhbar Arab Saudi, Okaz bahawa beliau masih belum memeluk Islam.

“Saya sangat menghormati Islam dan sangat indah melihat isteri saya menunaikan solat, tetapi khabar angin bahawa saya sudah memeluk Islam adalah tidak benar,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa jika suatu hari nanti beliau benar-benar memilih Islam, beliau sendiri akan mengumumkannya secara rasmi.

Cerita Roberto Carlos masuk Islam sebelum ini tersebar selepas Ahli Parlimen Turkiye, Ali Şahin mendakwa mendapat maklumat daripada Sheikh Jihad Hammadeh, seorang tokoh komuniti Muslim di Brazil.

Menurut cerita tersebut, Roberto Carlos dikatakan sudah lama berhubung dengan Sheikh Jihad sebelum datang menemuinya dan mengucapkan syahadah.

Namun selepas cerita itu tersebar luas, Roberto Carlos sendiri menafikannya.

Spekulasi turut menjadi kuat kerana Roberto Carlos baru berkahwin dengan Souhaila El Tahiri, seorang ejen bola sepak dan ahli perniagaan berdarah Maghribi.

Roberto Carlos menjelaskan bahawa mereka mengadakan majlis dalam beberapa bentuk bagi menghormati kepercayaan kedua-dua keluarga. Satu majlis disesuaikan untuk keluarganya yang beragama Katolik manakala satu lagi untuk isterinya dan rakan-rakan Muslim.

Mungkin ada yang tertanya, kalau Roberto Carlos belum Islam, macam mana beliau boleh berkahwin dengan wanita Muslim?

Cara dan tempat perkahwinan mereka didaftarkan tidak diperincikan dalam laporan tersebut. Namun dari sudut hukum syarak, wanita Islam tidak dibenarkan berkahwin dengan lelaki bukan Islam. 

Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan turut menjelaskan bahawa perkahwinan antara Muslim dengan pasangan bukan Islam tertakluk kepada ketetapan syarak, termasuk larangan perkahwinan yang tidak dibenarkan Islam.

Jadi kesimpulannya, Roberto Carlos memang berkahwin dengan Souhaila dan beliau sendiri mengakui isterinya seorang Muslim yang menunaikan solat.

Tetapi Roberto Carlos belum memeluk Islam.

Sekurang-kurangnya buat masa sekarang, beliau sendiri sudah menafikan cerita tersebut.

Roberto Carlos ni pun memang nama besar. Tak pelik kalau cerita dia macam ni boleh viral sepantas kilat.

Sekurang-kurangnya tak la macam hoax Undertaker masuk Islam.