Sumbangsih Keluarga Habaib Aljunied di Singapura

 


Rabu, 4 Agustus 2021

Faktakini.info

Kata pepatah, “Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama”. 

Kaum keluarga Aljunied, yang memberi sumbangan besar di Singapura sejak hampir 200 tahun lalu, tidak terkecuali. 

Aljunied Road, GRC Aljunied, Madrasah Aljunied Al-Islamiah, Masjid Omar Kampong Melaka dan Syed Alwi Road - kesemuanya mengabadikan sumbangan kaum keluarga Aljunied. 

Pada November 2001, Masjid Omar Kampong Melaka diiktiraf sebagai Historic Site oleh National Heritage Board (NHB). 

Pada 22 Oktober 2002 pula, sekitar 70 saki-baki jasad kaum keluarga Aljunied yang bersemadi di Makam Aljunied di Kubur Kampong Glam (Jalan Kubor) telah digali-semula dan dipindahkan ke perkarangan Masjid Omar Kampong Melaka. 

Ini termasuk makam dua tokoh utama keluarga Aljunied iaitu Syed Mohamed bin Haroon bin Ali Aljunied - yang pertama berhijrah ke Singapura dan meninggal dunia pada tahun 1824; serta Syed Omar bin Ali bin Haroon Aljunied - pedagang dan hartawan Arab yang tidak asing lagi di Singapura. 

Syed Omar merupakan ketua masyarakat Arab di Singapura dari tahun 1821 hingga 1852. Beliau juga adalah pewakaf Masjid Omar Kampong Melaka dan Masjid Bencoolen. Beliau meninggal dunia pada 6 November 1852.

Terdapat sekitar 70 buah kubur di dua buah bangunan usang berwarna kuning air di tanah perkuburan tertua Singapura yang telah dimamah usia itu. 

Apabila dipindahkan ke perkarangan menara Masjid Omar Kampong Melaka, 8 liang kubur telah digali dengan setiap satu menempatkan sekitar 10 saki-baki jasad dari Makam Aljunied. Malah beberapa buah nisan asalnya juga telah dibawa dan ditempatkan bersama.

Sumber: Jejak Warisan Singapura





Iklan Atas Artikel

Iklan Tengah Artikel 1

Iklan Tengah Artikel 2

Iklan Bawah Artikel